OLEH: SHAIMON S JUMADI
BELURAN: Lebih 1,000 umat Islam memeriahkan Majlis Perhimpunan Maulidur
Rasul SAW 1436H / 2015M Peringkat Daerah Beluran dengan berarak sambil membawa
sepanduk secara beramai-ramai mengelilingi pekan itu, kelmarin.
Perarakan dimulakan dari pentas terbuka Majlis Daerah Beluran sehingga
melewati beberapa kawasan yang berakhir di Dewan Serbaguna diketuai oleh Ahli
Dewan Undangan Negeri (Adun) Sugut Merangkap Ketua Umno Bahagian Beluran, Datuk
James Ratib di samping isterinya Datin Hajah Noriah Pg.Ahmad.
Seramai 18 buah kontinjen terdiri daripada jabatan-jabatan kerajaan
negeri dan persekutuan, badan-badan NGO, kampung-kampung serta sekolah-sekolah
mengambil bahagian dalam perarakan yang bermula seawal jam 8 pagi itu.
Sekali pun keadaan cuaca yang sedikit mendung tetapi masyarakat di
daerah berkenaan terutamanya yang berugama Islam tidak melepaskan peluang
menyertai perarakan yang diserikan bacaan 'Asrokal' dipimpin Ustaz Sabuangin
Abd.Amin yang berkumandang sepanjang perarakan tersebut.
Hadir sama Timbalan Ketua Umno Beluran, Mahmud Awang Hussin; Naib Ketua
Bahagian, Ariffin Bacho; Pegawai Daerah Beluran selaku Pengerusi Jawatankuasa
Sambutan berkenaan, Suhaili Riman dan Ketua Daerah Beluran, Abdul Rashid
Dundulang.
Pembantu Menteri Kewangan Negeri Merangkap Adun Labuk iaitu Datuk Seri
Micheal Asang turut hadir semasa berlangsungnya sambutan di dalam dewan
berkenaan yang menyaksikan pengumuman tokoh-tokoh Maulidur Rasul bagi peringkat
daerah selain pemenang pertandingan sepanduk, kontinjen terbaik dan kontinjen
teramai.
Acara sambutan turut meriah dengan beberapa persembahan lagu-lagu nasyid
berbentuk kasidah di samping ceramah agama oleh Ustaz Mohd Jumat Abdul Razak
dari Pejabat Mufti Kerajaan Negeri Sabah.
Seramai tiga orang pemimpin masyarakat di Beluran telah dipilih sebagai
penerima Anugerah Tokoh Maulidur Rasul 1436H / 2015M bagi peringkat daerah
berkenaan iaitu masing-masing Haji Ismail Salleh dan Madayang Abdullah,
manakala KK Habirin Hassan sebagai penerima Tokoh Kepimpinan Kariah.
Anugerah hadiah berupa sijil penghargaan dan wang tunai serta plak khas
disampaikan James pada majlis sambutan yang bertemakan 'Perpaduan Nadi
Transformasi Negara' ini.
Terdahulu, James semasa berucap menyempurnakan sambutan berkata semangat
perpaduan perlu disemarakkan dalam setiap lapisan masyarakat dalam mewujudkan
suasana aman dan harmoni.
Katanya, keadaan itu akan membolehkan negara mencapai kemajuan dan
kejayaan lebih bermakna dalam pelbagai aspek kehidupan.
Menurutnya lagi, perpaduan di kalangan masyarakat boleh dicapai dengan
mengamalkan kesederhanan serta berusaha merubah hidup Umat Islam kepada
kehidupan lebih baik
sesuai dengan tema sambutan Maulidur Rasul tahun ini iaitu 'Perpaduan
Nadi Transformasi Negara'.
"Perpaduan juga diamalkan di peringkat kerajaan yang berjaya
mendorong kemajuan dalam pelbagai bidang tanpa mengamalkan pendekatan ekstrim.
"Ia sekaligus meletakkan kedudukan umat Islam di negara ini sebagai
umat yang mampu mencapai kejayaan dalam kesederhanaan di peringkat
global," jelasnya.
James yang juga merupakan Pengerusi Sedcovest Holdings Sdn Bhd
menyarankan umat Islam mencontohi keperibadian Rasulullah SAW bagi melakar
kejayaan yang lebih besar dan bermakna terhadap perjuangan membela agama,
bangsa dan negara sebagai cara menunjukkan perasaan cinta terhadap sanjungan
kepada Nabi Muhammad.
Jelasnya, langkah itu mampu mendorong umat Islam menjadi umat yang
mempunyai perpaduan tinggi sekaligus mampu memperoleh kejayaan di dunia dan
akhirat.
"Kehadiran kita dalam majlis yang mulia ini melambangkang ketaatan
kita kepaa Allah SWT dan kecintaan kita kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad
SAW sebagai rasul pilihan dan pemimpin teladan yang menjadi rahmat kepada
sekalian alam.
"Bersempena dengan hari memperingati keputeraaan Nabi Muhammad ini,
saya ingin mengajak seluruh umat Islam khususnya di daerah Beluran untuk
sama-sama mencontohi sifat-sifat mulia Baginda.
"Jika kita menyingkap sirah Rasulullah, banyak kisah dan teladan
yang jelas menggambarkan bahawa Baginda merupakan seorang insan yang amat
bersopan-santun dalam tutur kata, bersikap jujur dan memiliki budi pekerti yang
luhur.
"Saya menekankan perkara penting berkaitan akhlak kerana sejak
kebelakangan ini, begitu banyak berlaku gejala sosial yang semakin merosakkan
jiwa, moral dan akhlak ummah khususnya yang cuba melemahkan dan meracuni
pemikiran generasi muda Islam kita.
"Oleh itu, bagi menggambarkan akhlak dan keperibadian Islam yang
sebenarnya, tidak lain dan tidak bukan ia telah sedia ada dalam diri Rasulullah
SAW. Malah, ramai orang bukan Islam termasuklah musuh-musuh Baginda yang telah
memeluk Islam kerana berasa sangat kagum dengan akhlak serta keperibadian mulia
Baginda," ujarnya.
Tamat
No comments:
Post a Comment