OLEH: AZMI AZMAN
Zakaria ketika melawat tempat-tempat
yang dilanda banjir kilat di kawasan DUN Gum Gum
GUM-GUM:- Pihak berkuasa termasuk
Jabatan Saliran dan Perparitan Negeri diminta mengambil tindakan untuk
mengatasi masalah banjir kilat yang sering melanda beberapa tempat di kawasan
Dewan Undangan Negeri (DUN) Gum Gum.
“Kerja-kerja menaik taraf
penyelenggaraan sistem saliran dan perparitan perlu dilaksanakan untuk
memastikan masalah banjir kilat di beberapa kampung di Gum Gum ini dapat
diatasi,” Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Gum Gum Datuk Zakaria Haji
Mohd Edris berkata demikian selepas melawat Kampung Sungai Memanjang dan
Kampung Jaya Bakti yang dilanda banjir kilat hari Isnin lepas.
Menurut Zakaria yang juga Pembantu
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, sejak beberapa tahun lepas dua
kampung berkenaan dan beberapa lagi kawasan termasuk Kampung Gum Gum sering
dilanda banjir kilat selepas hujan turun berterusan.
Justeru itu, Zakaria meminta jabatan-jabatan
serta agensi Kerajaan berkenaan agar mengambil tindakan segera bagi
mengatasi permasalahan ini.
Zakaria turut mengarah pegawai-pegawai
beliau di Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) serta ketua-ketua
kampung dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di DUN Gum Gum
sentiasa memantau keadaan paras air sungai dan bersiap sedia supaya tindakan
sewajar boleh diambil apabila berlakunya banjir di kampung mereka.
Beliau menasihati para penduduk
berwaspada untuk menghadapi kemungkinan banjir pada musim tengkujuh ini.
Zakaria juga meminta mereka kerap
mendengar laporan kaji cuaca terkini melalui media dan bersedia untuk berpindah
jikalau diarah oleh pihak berkuasa apabila berlaku banjir di tempat-tempat
mereka.
Beliau bersama PPM Kamal M. Said,
Pegawai Kemajuan Masyarakat (CDO) Rosly Aziz dan beberapa lagi kakitangan UPPM,
telah melawat Kampung Sungai Memanjang dan Kampung Jaya Bakti yang dilanda
banjir kilat Ahad lalu.
Walaupun air banjir sudah mula surut
selepas hujan berhenti turun masih terdapat beberapa tempat di
kedua-dua perkampungan itu termasuk jalan utama ditenggelami air dibawah paras
lutut tetapi boleh dilalui kenderaan.
No comments:
Post a Comment