PUTRA JAYA: Blogger Amizudin
Ahmat hari ini dihantar ke penjara untuk menjalani hukuman penjara tiga bulan
kerana menghina mahkamah bersabit dengan penerbitan artikel-artikel yang
memfitnah bekas Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Tan Sri Dr Rais
Yatim.
Ini kerana dia gagal mendapat kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan di
Putrajaya untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapatinya
bersalah kerana berterusan menyiarkan artikel memfitnah Rais dan dijatuhi
hukuman penjara tiga bulan.
Barisan panel lima hakim diketuai hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Ahmad
Maarop mengeluarkan waran pemenjaraan terhadap Amizudin, 44, selepas menolak
permohonannya bagi kebenaran untuk merayu.
Beliau berkata Amizudin tidak boleh mendapatkan kebenaran kerana persoalan
undang-undang yang ditimbulkannya tidak memenuhi keperluan minimum mengikut
Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
Perayu dalam kes sivil mesti terlebih dahulu mendapat kebenaran daripada
Mahkamah Persekutuan untuk memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan yang
berupa mahkamah yang lebih tinggi.
Hakim Ahmad memerintahkan Amizudin menjalani hukuman penjara mulai hari ini.
Sebaik sahaja mahkamah menyampaikan keputusan, Amizudin digari oleh anggota
polis yang ditempatkan di mahkamah.
Suasana sedih menyelubungi Amizudin, keluarganya dan penyokong yang hadir di
mahkamah. Amizudin dan anggota keluarganya kelihatan mengesat air mata.
Sebelum Amizudin dihantar ke lokap polis, dia melambaikan tangan sambil berkata
kepada anggota keluarga dan penyokongnya "Assalamualaikum, lawan tetap
lawan".
Pada 21 Nov, 2011, Rais, 72, diberi kebenaran untuk memulakan prosiding
pemenjaraan terhadap Amizudin berhubung dengan saman sivil yang dikemukakannya.
Rais menang kes saman yang dikemukakannya di Mahkamah Tinggi yang pada 19
Julai, 2011 memerintahkan Amizudin membayar RM300,000 sebagai ganti rugi dan
RM100,000 sebagai kos kepada bekas menteri itu.
Rais memfailkan saman pada 31 Jan, 2011, terhadap Amizudin kerana memfitnahnya
berhubung dengan artrikel yang diterbitkan dalam laman blog blogger itu,
sharpshooterblogger.blogspot.com, pada atau sekitar 28 Dis, 2010.
Mahkamah Rayuan kemudian mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi berhubung dengan
ganti rugi RM300,000 kepada Rais tetapi mengurangkan kos daripada RM100,000
kepada RM50,000.
Amizudin juga gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan untuk mengetepikan
hukuman penjara tiga bulan. Rayuannya ditolak pada 23 Julai, 2013. Dia kemudian
memohon kebenaran untuk memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan.
Peguam R Sivarasa yang mewakili Amizudin berkata anak guamnya akan dihantar ke
Penjara Kajang.
Mahkamah yang juga dianggotai oleh Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Jeffrey
Tan Kok Wha, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, Datuk Seri Abu Samah Nordin dan Datuk
Ramly Ali sebelum itu mendengar penghujahan oleh Sivarasa.
Mahkamah menyampaikan keputusannya selepas memaklumkan kepada peguam Tan Sri
Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Rais bahawa beliau tidak perlu menjawab
hujah Sivarasa. BERNAMA
No comments:
Post a Comment