Sunday, 18 January 2015

PASUKAN PETUGAS KHAS DAPAT LAKSANAKAN DENGAN BAIK....SARAN JAMES

OLEH: SHAIMON S JUMADI


BELURAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sugut, Datuk James Ratib berharap dua jawatankuasa pasukan petugas yang dibentuk akan dapat dikuasakan serta-merta memandangkan timbul beberapa perkara perlu diberikan perhatian serius agar ianya tidak berleluasa sekali gus mengancam kesejahteraan hidup penduduk Sugut amnya di kawasan Beluran.

Menurut beliau, sebagai mata dan telinga kerajaan kedua-dua badan berkenaan iaitu Pasukan Petugas Alam Sekitar dan Perladangan manakala satu lagi Keselamatan serta Pencegahan Gejala Sosial akan memantau, menyiasat dan melapor kepada pihak berwajib berkaitan apa jua masalah.

Beliau berkata, tindakan sedemikian bagi membolehkan pemantauan dibuat berikutan wujud dakwaan kononnya sesetengah syarikat perladangan sewenang-wenangnya menyalahi peraturan dan undang-undang sedia ada.

Katanya, sejak kebelakangan ini masalah semakin berleluasa apabila pihaknya mendapat maklumat orang kampung konon kerakusan syarikat menjalankan aktiviti penanaman kelapa sawit sehingga mencemarkan alam sekitar selain mengambil pekerja asing tanpa permit.

"Banyak masalah yang timbul contohnya, kerakusan sesetengah syarikat besar ini menanam sawit di pinggir-pinggir sungai yang bukan saja melebihi kawasan tetapi kesannya kepada aliran sungai apabila baja yang ditabur pastinya mengalir ke dalam sungai.

"Ada aduan mengenai ikan-ikan yang mati akibat pencemaran ke atas sungai. Ia satu kesan yang tidak baik kepada penduduk setempat. Nasib baiklah, sekarang ini musim hujan yang membolehkan orang-orang kampung menggunakan air hujan untuk keperluan harian.

"Namun, bagaimana kalau musim kemarau? Tentu mereka menggunakan air sungai untuk keperluan, tetapi bagaimana kalau sungai pun tercemar. Siapa yang harus dipersalahkan?

"Oleh hal demikian, saya terpanggil untuk menubuhkan Pasukan Petugas yang dipengerusikan oleh mantan Ahli Parlimen Beluran, Asmat Nungka dan dibantu beberapa ahli jawatankuasa Umno Beluran agar apa jua permasalahan akan dapat dibanteras demi kepentingan dan masa hadapan penduduk Sugut khususnya dan Beluran amnya," jelasnya.

James berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pasukan petugas tersebut di Bilik Mesyuarat, Majlid Daerah Beluran, di sini, pagi kelmarin.

Hadir sama Pegawai Daerah Beluran, Suhaili Riman; Ketua Polis Daerah, Supt. Sivanathan Velautham; Pengerusi Pasukan Petugas, Asmat; Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Sugut, Jalil Atang dan wakil-wakil agensi kerajaan serta pemimpin masyarakat setempat.

Sehubungan dengan itu, Ketua Umno Bahagian Beluran ini memberitahu Pasukan Petugas Keselamatan dan Gejala Sosial telah pun menjemput Polis; Jabatan Imigresen; Jabatan Pendaftaran dan Rela serta beberapa agensi lain untuk menganggotai jawatankuasa tersebut.

Beritahunya, kehadiran agensi-agensi kerajaan ini akan membantu kedua-dua badan 'Task Force' menjalankan penguatkuasaan undang-undang terhadap mana-mana syarikat perladangan yang didapati menyalahi peraturan.

Jelasnya, badan berkenaan tidak boleh bertindak melainkan membantu daripada segi menyalurkan maklumat seperti memantau, menyiasat dan melapor kepada pihak berkuasa keselamatan sebelum mengambil tindakan selanjutnya.

Ini kata beliau, masalah yang membelenggu bukan saja melibatkan pencemaran ke atas air sungai tetapi juga ada dakwaan kononnya sebahagian syarikat perladangan di kawasan Sugut mengambil pekerja asing tanpa permit sah.

Tegasnya, keadaan ini tidak boleh dibiarkan berterusan kerana di samping berdepan dengan masalah keselamatan tetapi turut membawa masalah gejala sosial seperti penyalahgunaan najis dadah dan sebagainya.

"Ia sedikit mempengaruhi belia yang akhirnya terjerumus ke kancah tidak baik kerana kebanjiran pendatang asing tanpa izin ini. Satu lagi, masalah yang perlu diberikan perhatian adalah dakwaan pemungutan pasir secara haram di beberapa tempat.

"Kita minta supaya Jabatan Alam Sekitar dapat memantau perkara ini memandangkan pengambilan pasir yang tidak terkawal akan mengakibatkan tanah terhakis yang lama-kelamaan akan membawa masalah kepada penduduk.

"Sebab itu, saya sangat berharap agar kedua-dua Task Force yang kita tubuhkan dapat dikuatkuasakan serta-merta bagi membolehkannya menjalankan tanggungjawab berkesan. 

"Sebagai mata dan telinga kepada kerajaan, badan berkenaan hanya membantu daripada segi menyalurkan maklumat kepada pihak berkaitan sebelum mereka menjalankan tindakan seterusnya.

"Saya mahu kepentingan rakyat Sugut amnya di Beluran ini terbela dan tidak dibelenggu dek kerakusan segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab. Masa hadapan generasi Sugut menjadi keutamaan kepada saya selaku wakil rakyat," ujarnya. 



1.


No comments:

Post a Comment