Written by Admin
Monday January 13,2014
OLEH: SHAIMON S JUMADI
SANDAKAN:- Penduduk di kawasan
perumahan dan kampung-kampung perlu meningkatkan pengetahuan tentang aspek
kebombaan kerana apabila berlaku sesuatu kebakaran mereka tidak lagi panik,
sebaliknya mampu mencegah kebakaran daripada terus merebak.
Ketua Umno Bahagian Sandakan, Tan Sri
Haji Ampong Puyon, berkata kesedaran ini penting memandangkan penduduk setempat
boleh bertindak memadamkan kebakaran sebelum kedatangan anggota bomba ke tempat
kejadian.
Beliau berkata, kerjasama melibatkan
semua penduduk membantu usaha pihak bomba yang sentiasa memastikan kebakaran
tidak merebak terlalu cepat yang mampu mengakibatkan kemusnahan rumah dan harta
benda.
Katanya, kempen kesedaran mengenai
kebombaan ini sentiasa dilaksanakan pihak kerajaan termasuklah mewujudkan
pasukan unit bomba sukarela yang semata-mata bertujuan untuk memberikan ilmu
pengetahuan kepada sesiapa sahaja.
"Pengetahuan berkenaan aspek
kebombaan perlu dipertingkatkan terutama penduduk yang tinggal di
kawasan-kawasan perumahan dan kampung. Ia penting, supaya jika berlaku sesuatu
kebakaran mereka tidak panik malahan boleh membantu antara sama lain.
"Kejadian kebakaran yang
mengakibatkan kemusnahan yang banyak seperti rumah dan harta benda mungkin
disebabkan penduduk kurang mengambil berat tentang aspek kebombaan contohnya
terlalu bergantung harap pada anggota bomba untuk cepat sampai sedangkan
pasukan tersebut memerlukan kerjasama penduduk.
"Saya berharap kepada mana-mana
penduduk pun, pertingkatkanlah ilmu pengetahuan mengenai cara-cara memadam
kebakaran atau jika ada inisiatif boleh wujudkan pasukan unit bomba sukarela
sebagai satu persediaan awal," jelasnya.
Ampong menyatakan demikian ketika
berucap pada majlis penyampaian sumbangan peribadinya berupa wang tunai kepada
mangsa-mangsa kebakaran di Kampung Batu 2 TB Wad dekat sini, kelmarin.
Hadir sama Setiausaha Umno Bahagian,
Haji Hamdan Dikong; Ketua Pemuda Umno Bahagian, Fakarudin @ Carl Tan Sri Haji
Ampong dan Pegawai Kemajuan Masyarakat (CDO) Elopura, Mohamad Otung serta
barisan ahli jawatankuasa Umno Sandakan.
Sebanyak 18 buah rumah musnah yang
mengakibatkan kira-kira 150 orang penduduk kehilangan tempat tinggal dalam
kejadian kebakaran yang berlaku pada awal pagi 5 Januari itu.
Ketika ini sebahagian mangsa-mangsa
kebakaran menetap buat sementara waktu di masjid berhampiran manakala
selebihnya di rumah sanak-saudara serta sahabat-handai.
Dalam pada itu, Ampong menasihatkan
mangsa-mangsa kebakaran yang terlibat dengan musibah berkenaan agar dapat
bersabar kerana kejadian yang tidak diduga ini tentu akan ada hikmahnya juga.
"Janganlah bimbang kerana
kerajaan Barisan Nasional (BN) yang prihatin menerusi badan-badan berkaitan
akan tampil ke hadapan bagi menghulur bantuan untuk meringankan beban yang
ditanggung.
"Apa yang penting banyak
bersabar kerana ia dituntut dalam agama Islam. Apa pun musibah yang terjadi,
yang penting sekali redha dengan ketentuan Ilahi selain tabahkan iman dan
kesabaran dalam menempu segala dugaan hidup," ujarnya.
Beliau yang sedih mengenangkan nasip
mangsa-mangsa kebakaran yang terlibat terutama dalam usaha mereka menyediakan
persekolahan anak-anak yang baru bermula berharap dengan bantuan yang
dihulurkannya ini sedikit sebanyak membantu meringankan beban harian.
Menurutnya, walaupun sumbangan
tidaklah membantu sepenuhnya segala keperluan mereka tetapi atas semangat
Gagasan 1Malaysia Rakyat didahulukan Pencapaian diutamakan maka pemimpin BN
khasnya Umno tidak akan sesekali meminggirkan rakyat terutama yang ditimpa masalah.
No comments:
Post a Comment