23 0 0 23
By Admin
Kerajaan tidak menerima sebarang memorandum daripada mana-mana pihak yang mahu ISA dikuatkuasakan semula.
KUCHING: Akta yang sudah diputuskan untuk dimansuhkan tidak akan dikuatkuasakan semula termasuk Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri.
Tegasnya, setakat ini beliau tidak menerima sebarang memorandum daripada mana-mana pihak yang mahukan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) dikuatkuasakan semula.
Bagaimanapun, beliau tidak menafikan terdapat pihak dan kumpulan tertentu yang mahukan akta berkenaan dikuatkuasakan semula.
“Polisi kerajaan, kita tidak akan mengembalikan semula perkara yang sudah diputuskan sebelum memansuhkan ISA,” tegasnya dalam sidang media di sebuah majlis di sini, hari ini.
Nancy yang bertanggungjawab dalam hal ehwal undang-undang negara berkata, negara sudah memiliki dua undang-undang berkaitan keselamatan iaitu Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) dan Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2013 (PCA) yang mengantikan ISA.
“Kita sudah mewujudkan dua undang-undangan iaitu Sosma dan PCA yang digunakan oleh pihak polis dalam menjalankan tugas mereka dan ISA tidak diperlukan lagi.
“Beberapa perkara dalam akta ISA telah dimasukkan dalam SOSMA dan PCA dan disebabkan itu, semasa kita memperkenalkan PCA iaitu, penahanan tanpa perbicaraan, ramai pihak tidak bersetuju sehinggakan kita tidak tahu apakah sebenarnya yang dimahukan oleh rakyat,” jelasnya.
Katanya, meskipun kuasa ISA iaitu penahanan tanpa bicara itu tidak berapa bagus namun, pihak polis mahukannya dimasukkan dalam PCA.
“Kita berpendapat, adalah lebih baik untuk kenakan tindakan pendakwaan terlebih dahulu kerana penahanan tanpa bicara boleh menjadi jalan terakhir,” ujarnya.
Kata Nancy, undang-undang berkenaan tidak akan digunakan untuk tujuan politik sebaliknya terhadap individu yang terlibat dalam jenayah serius.
Justeru, katanya, kerajaan akan menambahbaikan Sosma jika diperlukan kerana ia adalah undang-undang baharu.
`Hal mereka sendiri’
Ahli Parlimen Batang Sadong itu juga berkata, hal ehwal agama adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan praktisnya adalah berbeza dengan negeri lain.
“Jika rakyat negeri Sabah dan Sarawak yang beragama Kristian yang tinggal di Selangor mengamalkan agama mereka, kita tidak dapat menghalang mereka berbuat demikian, bagaimanapun, tindakan seumpamanya boleh mengikut undang-undangnya,” katanya.
Tambahnya, penerbitan akhbar The Herald telah disekat penerbitannya di Selangor dan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor yang merampas Bible yang mengandungi kalimah Allah adalah ‘hal mereka sendiri’.
“Kita tidak dapat menghalang orang daripada bersembayang di premis mereka sendiri dan kita juga tidak dapat menghalang orang daripada menghalang serbuan dilakukan,” katanya ringkas sambil menambah kes berkenaan masih dalam mahkamah.
Jelasnya, selagi mereka (Kristian) tidak cuba untuk mempengaruhi orang Islam, mereka bebas mengamalkan agama dan kepercayaannya namun, persoalannya sekarang adalah penerbitan yang menggunakan kalimah Allah.
“Kes ini masih dalam makhamah dan biarlah mahkamah menentukan keputusannya,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment