Monday, 11 May 2015

SUKAN KRIKET TARIK BAKAT-BAKAT MUDA UNTUK PERINGKAT KEBANGSAAN......CHARLES PANG

OLEH: SHAIMON S JUMADI


KARAMUNTING:-  Penganjuran kejohanan sukan seperti kriket adalah merupakan landasan terbaik untuk menampilkan bakat-bakat muda yang boleh bersaing sekali gus mengharumkan nama negeri dan negara di peringkat antarabangsa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Karamunting, Charles O Pang, berkata kejayaan melahirkan seorang atlet yang bertaraf dunia bukan satu perkara yang mudah kerana ianya melibatkan kerjasama pelbagai pihak dalam menggembleng tenaga dan pemikiran di samping penyusunan strategi yang berkesan demi membuahkan hasil yang cemerlang. 

"Contohnya, seorang pemimpin politik memberikan khidmat bakti kepada masyarakat sebagai satu motivasi, sementara seorang atlet atau pun ahli sukan selalunya akan mencipta kejayaan sebagai satu motivasi dalaman serta kepuasan dan merupakan sebahagian dalam sejarah hidupnya.

"Semangat beginilah yang seharusnya menjadi contoh kepada semua atlet dalam apa jua acara sukan. Atlet seharusnya mempunyai kebolehan tersendiri yang tidak mungkin ada pada orang lain.

"Oleh yang demikian kesungguhan, keinginan serta usaha yang tidak mengenal erti jemu, bosan dan mudah putus asa seharusnya dikikis dalam diri seorang atlet lebih-lebih sebagai seorang pelajar," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan penangguhan Kejohanan Kriket Sempena Majlis Sukan Sekolah-Sekolah (MSSS) 2015 di SMK Agama Tun Juhar, dekat sini, baru-baru lepas. 

Hadir sama Pegawai Pendidikan Daerah Sandakan, Haji Sharif Mahada Sharif Attar dan Ketua-ketua Unit Pembangunan Kemanusiaan Pejabat Pendidikan Daerah seluruh Sabah serta Pengetua-pengetua sekolah menengah sekitar daerah ini.

Mengulas lanjut, Charles berkata persaingan positif di kalangan para atlet yang mengambil bahagian akan dapat membantu dalam pembentukan semangat berpasukan dan ketahanan mental yang sudah tentu akan menjadi sebahagian pengukur kepada kejayaan atlet.-

PENGHARGAAN ... Charles menerima cenderahati kenangan disampaikan Sharif Mahada pada majlis perasmian penangguhan kejohanan kriket sempena MSSS pada kali ini
Di samping itu, ujarnya, penghayatan nilai-nilai murni dalam usaha untuk melahirkan generasi yang berakhlak mulia serta berketrampilan sekali gus menjadi harapan agar kejohanan ini mampu melahirkan generasi yang seimbang dalam era globalisasi.

Menurutnya, usaha mengadakan kejohanan seumpama ini diharap terus meningkatkan lagi penyertaan pelajar dalam bidang sukan dan ianya selaras dengan 'Dasar Satu Murid Satu Sukan' yang telah dilaksanakan bermula tahun 2011 lalu.

Ujarnya, dasar tersebut sudah pasti akan menjadi saluran terbaik dalam melahirkan modal insan cemerlang untuk menjadi pelapis pemimpin muda sukan negara pada masa akan datang.

"Saya merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih kepada Jawatankuasa Pengelola Kejohanan Kriket MSSS 2015 atas usaha bersungguh-sungguh menjayakan kejohanan ini. 

"Kepada semua kontinjen yang mengambil bahagian diucapkan syabas dan tahniah," katanya.


-

No comments:

Post a Comment