Friday 15 May 2015

DUA WARGA TEMPATAN DICULIK DI RESTORAN OCEAN KING MALAM TADI

Oleh: Shaimon S Jumadi

SANDAKAN: Satu lagi kes penculikan berlaku dan  membabitkan dua warga tempatan, seorang lelaki dan seorang wanita, diculik sekumpulan lelaki bersenjata di Restoran Ocean King, dekat sini, jam 7.50 malam ini.

Thien Nyuk Fun, wanita berusia 48 tahun dan pelancong dari Sarawak berumur 50 tahun dilarikan sekumpulan empat lelaki dipercayai bersenjatakan pistol dan M16 dengan dua lagi suspek menunggu di bot.

Ketika kejadian, wanita yang juga adik ipar kepada pemilik restoran berkenaan berada di kaunter, manakala lelaki terbabit berada di meja makan bersama isteri dan seorang rakan.

Difahamkan, kumpulan bersenjata terbabit muncul secara tiba-tiba dari arah laut dan hanya mengambil masa kira-kira seminit untuk melarikan kedua-dua mangsa dengan sebuah bot laju.

Mereka kemudian dilihat melarikan diri ke arah perairan antarabangsa, dipercayai menghala ke negara jiran.
Pengurus restoran, Chung Yun Thiam, 60, berkata ketika kejadian ada kira-kira 80 pelanggan sedang menikmati makan malam sebelum tiba-tiba muncul empat lelaki bersenjata terbabit.

Katanya, semua lelaki terbabit memakai pakaian celoreng tetapi tidak bertopeng dengan seorang daripadanya membawa senapang jenis M16 dan peluru disangkut pada badannya.

“Menyedari kehadiran empat lelaki bersenjata itu, semua pelanggan lari untuk menyelamatkan diri, namun mangsa wanita dan lelaki berkenaan tidak sempat lari,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman, menerusi aplikasi WhatsApp berkata, pihaknya masih mendapatkan fakta berhubung kes berkenaan.

Dalam tinjauan Wartawan Free Sandakan Today.com  di tempat kejadian mendapati pasukan keselamatan mengawal ketat kawasan terbabit.

Dalam pada itu Ahli Parlimen Sandakan Stephen Wong juga turut 
berada di tempat kejadian dan beliau amat simpati keatas nasib dua orang yang menjadi mangsa culikan itu.


Mengenai penculikan itu masyarakat tertanya-tanya bagaimana ia boleh berlakunya penculikan sedangkan di lautan penuh dengan kawalan ketat dan rapi oleh anggota ESSCOM disemua pintu masuk laut di Berhala Laut dan di Pulau Nunuyan.

No comments:

Post a Comment