Friday 6 December 2013

ABANG IPAR MARAH GARA-GARA KRISIS RUMAH TANGGA BAKAR RUMAH KELUARGA



Written by Admin    Friday December 6,2013
 OLEH: FARIDAH AHMAD
TAWAU: Disebabkan  terlalu marah dan  tidak dapat mengawal emosi  berpunca  daripada  masalah rumah tangga, seorang lelaki nekad membakar rumah keluarga isterinya di Taman Semarak, di sini hari ini menyebabkan adik iparnya parah akibat melecur.
Ketua Polis Daerah Tawau ACP Awang Besar Dullah berkata dalam kejadian pukul 8.15 pagi itu, mangsa yang berumur 24 tahun, melecur hampir 80 peratus.
“Mangsa cuba menghalang suspek yang berusia 52 tahun daripada membakar rumah mereka kerana marah dengan isterinya yang dikatakan enggan berbaik semula.
“Ketika cuba menghalang, mangsa tergelincir dan pada masa itu juga suspek menyalakan api sehingga menyebabkan mangsa turut terbakar,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata sebelum kejadian itu suspek mengambil dua tong berisi petrol dari keretanya dan menyimbah minyak itu ke rumah keluarga mangsa.
Mangsa yang melihat tindakan suspek itu, cuba menghalang, namun tergelincir dan terbakar.
Awang Besar berkata bapa mangsa yang berusia 61 tahun turut mengalami kecederaan melecur di kaki akibat terkena api ketika cuba membantu anaknya.
“Siasatan awal mendapati suspek yang sedang dalam proses perceraian dengan isterinya berusia 40 tahun, pergi ke tempat kejadian untuk berbincang dengan isterinya,” katanya.
Mangsa kini dirawat di Hospital Besar Tawau di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan dilaporkan masih berada dalam keadaan kritikal.

No comments:

Post a Comment