Monday 6 April 2015

BELIA DISARAN REBUT PELUANG PERKEJAAN YANG DITAWARKAN AGENSI......TEGAS AWANG KADIN

OLEH: SHAIMON S JUMADI
ssjumadi@gmail.com



SANDAKAN:- Timbalan Ketua Umno Bahagian Sandakan, Datuk Haji Awang Kadin Tang, berkata ini kerana peluang pekerjaan yang ditawarkan melalui jabatan dan agensi swasta bukan hanya untuk mereka yang memiliki ijazah atau diploma malahan turut terbuka kepada yang berkelayakan akademik lebih rendah.

Katanya  golongan belia dan beliawanis digesa sentiasa memeriahkan karnival berbentuk kerjaya kerana banyak manfaat mereka perolehi seperti mendapat tahu peluang-peluang pekerjaan yang ditawarkan.

Lantaran, beliau berkata amat merugikan kalau peluang sebegini tidak direbut padahal objektif penganjuran karnival adalah bagi mengatasi masalah pengangguran di kalangan generasi muda.

Katanya, inisiatif Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Sandakan yang melaksanakan program karnival kerjaya merupakan satu usaha baru dalam 'Program Membara' yang secara tidak langsung membantu lagi belia-belia untuk mendapatkan pekerjaan dalam pelbagai bidang.

"Ini satu program yang baik kepada kita semua terutama melibatkan golongan berkenaan yang lepasan SPM mahu pun universiti memandangkan terdapat anak-anak muda baru habis belajar, tidak mengetahui cara atau prosedur untuk mendapatkan pekerjaan.

"Dengan adanya karnival seumpamanya, ia akan memudahkan mereka atau pencari pekerjaan yang masih menganggur untuk mendapatkan pelbagai peluang pekerjaan yang ditawarkan.

"Saya amat mengalu-alukan usaha ini dan menyeru para belia di Sandakan khususnya, untuk merebut pekerjaan yang disediakan dalam karnival kerjaya selama sehari ini," jelasnya.

Awang berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Kerjaya Program Membara 2015 Pemuda Umno Sandakan di pusat membeli-belah Harbour Mall Sandakan, dekat sini, pada Ahad lepas.

Mengulas lanjut, ujarnya, ramai belia dari Sabah berhijrah ke Semenanjung dan luar negara untuk mencari pekerjaan sedangkan mereka tidak tahu terdapat peluang-peluang pekerjaan yang ditawarkan di negeri ini.

Bahkan, adakala mereka tertipu dengan agensi-agensi yang kononnya menawarkan gaji yang lumayan apabila cuba berhijrah untuk mendapatkan pekerjaan.

"Harapan saya, agar program karnival kerjaya diteruskan pada masa-masa akan datang kerana ia bukan saja memberikan peluang untuk belia mengetahui lebih lanjut tentang peluang pekerjaan tetapi juga mengeratkan hubungan mesra melalui aktiviti yang dianjurkan contohnya seperti pameran kereta," katanya.

Terdahulu, Ketua Pemuda Umno Sandakan iaitu Fakarudin Tan Sri Haji Ampong memberitahu mereka terpanggil untuk menganjurkan karnival kerjaya sempena program membara tahun ini adalah bagi membantu golongan tersebut.

Ini katanya, melalui karnival yang dilaksanakan sudah pasti membantu belia dan beliawanis untuk mendapatkan peluang-peluang pekerjaan yang ditawarkan.

"Matlamat kita sebagai Pemuda Umno adalah bagi membantu anak-anak muda yang menjadi pelapis kepimpinan negara suatu hari nanti. Kita tidak mahu ada yang tertunggu-tunggu kerja sehingga ada pula yang menganggur.

"Jadi, saranan saya ialah kunjungilah karnival kerjaya yang dilaksanakan kerana dari situ anda bukan saja dapat tahu lebih banyak peluang pekerjaan tetapi juga memberikan peluang untuk bertemu dan beramah-mesra sekali gus mengeratkan lagi silaturrahim menerusi aktiviti sihat yang kami anjurkan ini," jelasnya.

Karnival kerjaya selama sehari itu dimeriahkan dengan penyertaan pelbagai pihak swasta seperti syarikat bank di samping kaunter keahlian Umno.

Turut menarik perhatian pengunjung ialah pameran kereta di perkarangan Harbour Mall yang disertai kelab-kelab kereta dari seluruh bandar ini.




No comments:

Post a Comment