Masyarakat Cina diingatkan agar
sensitif terhadap orang Melayu seperti mana dilakukan orang Melayu terhadap
kaum tersebut bagi memastikan Malaysia terus aman dan harmoni, kata Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Razak.
KOTA KINABALU:-Datuk
Seri Najib Razak mengingatkan masyarakat Cina agar sensitif terhadap orang
Melayu seperti mana dilakukan orang Melayu terhadap kaum tersebut bagi
memastikan Malaysia terus aman dan harmoni, lapor Utusan Malaysia.
Perdana menteri berkata, pentingnya
kedua-dua kaum itu termasuk kaum lain memiliki sikap “mutual respect” atau
saling hormat-menghormati antara satu sama lain berdasarkan kepada tunjang
Perlembagaan Persekutuan dan kontrak sosial, lapor akhbar milik Umno tersebut.
Najib berkata, Malaysia percaya
kepada konsep kepelbagaian serta integrasi kaum dan bukannya asimilasi,
khususnya kaum Cina yang diberikan hak mengamalkan budaya, identiti, sekolah
dan bahasa ibunda mereka.
“Sebagai pulangannya, kita mahu
mereka (kaum Cina) memahami kepada keperluan bersatu dalam negara ini. Seperti
mana kita (orang Melayu) sensitif tentang kaum Cina, masyarakat Cina juga perlu
sensitif terhadap orang Melayu, itu kita rujuk kepada mutual respect
(hormat-menghormati),” kata Najib di Kota Kinabalu, Sabah semalam seperti
dilaporkan Utusan Malaysia.
“Apabila kita ada mutual respect,
akan wujud negara yang aman dan harmoni. Kita mungkin tidak perlu kepada satu
undang-undang (Akta Keharmonian Nasional), kita perlu hormat-menghormati antara
satu sama lain. Tentu juga kita perlu kepada undang-undang, tetapi pentingnya
atau amat penting kepada nilai-nilai keharmonian dalam masyarakat,” katanya.
Menurut Utusan Malaysia, Najib
berkata demikian ketika menyampaikan ucapan menutup Perhimpunan Agung Parti
Liberal Demokratik (LDP) semalam.
Najib berkata, masyarakat Cina yang
sering mengadu soal kepentingan mereka di negara ini khususnya dalam soal
pendidikan perlu melihat negara jiran seperti Indonesia dan Thailand yang
langsung tidak ‘membuka’ sekolah vernakular atau sekolah jenis kebangsaan Cina
(SJKC) di negara berkenaan.
“Di Singapura pun, tiada sekolah
Cina. Cuma di Malaysia saja ada sekolah Cina. Itu konsensus yang dibuat oleh
pemimpin kita terdahulu yang dipimpin oleh Umno. Ini kerana kita percaya kepada
konsep kepelbagaian kaum. Tetapi perlulah ada give and take (tolak ansur), taat
setia kepada negara ini,” katanya seperti dilaporkan akhbar itu. Najib turut mengulangi
komitmen Barisan Nasional (BN) untuk terus membenarkan sekolah dan pendidikan
Cina “bertapak” di negara ini.
“Tetapi, apa salahnya diberikan
penekanan kepada mempelajari bahasa kebangsaan? Meletakkan bahasa kebangsaan
atau bahasa Melayu dengan fasih, bukannya bahasa pasar. Saya perlu beritahu
semua, semasa Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) di Beijing,
China, baru-baru ini, kerajaan China memberikan saya pegawai perhubungan yang
fasih dalam bahasa Melayu.
“Para pegawai China di pejabat luar
negara di sana mempelajari bahasa Melayu. Dan jika kamu (masyarakat Cina)
menekankan pembelajaran bahasa kebangsaan di sekolah Cina dan orang Melayu pula
belajar bahasa Mandarin, apa salahnya?
“Inilah, bidang pendidikan tidak
perlu dipolitikkan, pendidikan bukannya politik. Pendidikan merupakan alat
untuk membina identiti bangsa. Kita perlu elak daripada mempolitikkan
pendidikan. Jadikan pendidikan untuk membina kekuatan dan perpaduan Malaysia,”
katanya.
Menurut Utusan Malaysia, Najib juga
mengingatkan semua parti termasuk Umno supaya mengenepikan ekstremisme,
sebaliknya mengamalkan sikap kesederhanaan. SABAHKINI.NET
No comments:
Post a Comment