Saturday 14 November 2015

KAWASAN DUN GUM-GUM ADA KEMUDAHAN INTERNET...KATA ZAKARIA

GAMBAR KELIHATAN:-Zakaria menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta Seminar Pembangunan Diri dan Keluarga kelmarin

                       
OLEH: BERKURAPAN A/L BERPANAUAN

SANDAKAN:  Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan telah menyediakan pelbagai kemudahan untuk rakyat menambah pendapatan keluarga.

“Penyediaan tamu-tamu niaga di setiap kawasan dan tidak terkecuali di Gum Gum ini pun sudah ada kemudahan awam termasuk internet,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Gum Gum Datuk Zakaria Haji Mohd Edris di sini kelmarin.

Beliau yang juga Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, menyatakan demikian semasa menyempurnakan majlis penutupan seminar Pembangunan Diri dan Keluarga anjuran Yayasan Sabah dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) DUN Gum Gum di Mini RTC, Kampung Gum Gum.

Justeru itu, Zakaria mengajak masyarakat di Gum Gum agar mengambil peluang dan ruang yang disediakan oleh Kerajaan dalam meningkatkan tahap ekonomi keluarga.

Beliau berharap Gum Gum dengan lokasi strategik menjadi nadi pembangunan pelancongan akan turut mendapat perhatian kerana satu-satunya Pusat Pemulihan Orang Utan terletak di kawasan ini dan juga pekannya terletak kira-kira 16 batu dari pusat Bandar Sandakan.

“Inilah masanya untuk masyarakat di Gum Gum bersedia menerima kepesatan pembangunan yang akan dibawa ke pekan ini kelak,” tambah Zakaria.

Katanya, jika kawasan Gum Gum pesat membangun maka penduduknya akan memperolehi dan mendapat limpahan sekaligus membawa perubahan kepada tahap ekonomi mereka.

Turut hadir ialah Datin Hajah Raisah Haji Jubar, isteri kepada Zakaria ,pegawai-pegawai dari Yayasan Sabah serta Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) DUN Gum Gum termasuk PPMnya Kamal M Said, para pemimpin masyarakat setempat.





No comments:

Post a Comment