Friday, 13 March 2015

BANTUAN KWAPM MENDORONG KEJAYAAN ANAK-ANAK DALAM PEMBELAJARAN....ZAKARIA

OLEH: AZMI AZMAN


GAMBAR….Menunjukkan Zakaria menyampaikan bantuan KWAPM  kepada para pelajar sambil diperhatikan pegawai-pegawai lain


SANDAKAN:  Para ibubapa dan penjaga diseru menjadikan bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) dari Kerajaan ini sebagai pendorong kepada kejayaan anak-anak mereka.

“Jangan meletakkan kemiskinan sebagai satu alasan tidak menghantar anak-anak bersekolah. Sebaliknya dapatkan nasihat atau bantuan dari pihak sekolah,”  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Gum Gum Datuk Zakaria Haji Mohd Edris memberi nasihat demikian ketika berucap  pada Majlis Penyampaian KWAPM Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Pertanian di Batu 25 Jalan Labuk kelmarin.

Tabung  KWAPM merupakan satu lagi usaha Kerajaan Barisan Nasional melalui Kementerian Pendidikan Malaysia untuk menyalurkan bantuan khas bagi tujuan membantu golongan ibu bapa pelajar yang berpendapatan rendah dan tidak berkemampuan menghantar anak-anak mereka ke sekolah serta membasmi keciciran pelajar daripada akibat kemiskinan, tambah beliau.

“Justeru, peranan kita sebagai penerima iaitu anak-anak dan ibu bapa sebagai penjaga dan golongan pendidik yang menyampaikan amanah ini, harus memastikan hasrat Kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan Malaysia tercapai dan menepati kehendak untuk mengurangkan jurang antara golongan miskin dan yang berkemampuan dalam mendapatkan peluang serta akses kepada pendidikan yang sama rata untuk melahirkan pelajar yang cemerlang,” katanya lagi.

Bagi guru-guru pula, letaknya harapan kita semua untuk melihat kualiti pendidikan negara melonjak ke tahap yang terbaik dan memastikan pendidikan negara kita dapatkan melahirkan modal insan yang berkualiti di masa hadapan, tambah beliau.

“Peranan guru-guru dan ibubapa adalah landasan komunikasi dua hala ini. Ibubapa juga perlu mengambil langkah positif dan berjaga-jaga tentang perilaku anaka-anak mereka kerana sudah pasti gejala-gejala yang tidak diingini dapat dibendung dari hasil pemantauan ini,” katanya lagi.

Dalam majlis yang diadakan di surau sekolah berkenaan,  Zakaria yang juga Pembanti Menteri  Kerajaan Tempatan dan Perumahan,  telah menyampaikan bantuan khas KWAPM kepada seramai 101 pelajar .

Beliau juga menyempurnakan majlis perasmian surau sekolah yang baharu itu.

Turut hadir pengetua sekolah, para guru-guru , ibubapa dan pelajar-pelajar yang menerima bantuan khas KWAPM, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Gum Gum dan pegawai-pagawai lain dari Unit PPM Gum Gum.

No comments:

Post a Comment