Friday, 14 February 2014

Jakim: Valentine Day permulaan kepada gejala sosia


By Admin
FRIDAY FEBRUARY 14, 2014
 
OLEH MOHD FARHAN DARWIS
 
UMAT Islam dinasihatkan supaya menjauhi sambutan Hari Kekasih kerana ia adalah permulaan kepada gejala sosial seperti penipuan, kecelaruan mental yang disebabkan alkohol dan juga pembuangan bayi, kata khutbah Jumaat yang disediakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), hari ini.

Khutbah bertajuk "Iman yang Mantap, Ummah Cemerlang" yang diperolehi daripada laman web Jakim berkata, salah satu permasalahan yang paling penting untuk disedari oleh umat Islam ketika ini ialah tentang "ghazwul fikri" atau "penjajahan pemikiran" yang berkait dengan pelbagai kehidupan manusia.

"Ghazwul fikri atau teori pengaruh ini menyebabkan sebahagian umat Islam ini terjebak dengan budaya kebebasan melampau sehingga tergelincir daripada sempadan ajaran agama Islam yang sebenar.

"Majlis sosial seumpama ini dilihat sebagai satu langkah permulaan ke arah peningkatan gejala sosial seperti penipuan, kecelaruan mental disebabkan alkohol, menggugurkan kandungan dan membuang bayi yang boleh mengundang kepada bala bencana dan keruntuhan akhlak muda mudi.

"Justeru, kepada seluruh umat Islam sekalian, marilah sama-sama kita memandang ke depan dengan berfikiran lebih positif untuk membentuk jati diri sebagai umat Islam yang boleh dicontohi oleh seluruh umat manusia sejagat," kata khutbah Jumaat itu.

Valentine Day, atau Hari Kekasih disambut bagi memperingati kekasih pada 14 Februari setiap tahun di seluruh dunia.

Khutbah Jakim berkata, isu berkenaan timbul disebabkan jauhnya umat Islam daripada Al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad, di mana terdapat segelintir umat Islam yang meninggalkannya.

Selain itu, tidak dapat menilai pertembungan antara yang hak dan batil iaitu keimanan dan kekufuran; "Tafriqah" iaitu terjadinya perpecahan di kalangan umat itu sendiri dan; "Taklidiah" iaitu mengikut tanpa berpegang kepada prinsip yang sebenar.

"Akibatnya terdapat manusia tidak mampu membezakan antara kebenaran dan kebatilan.

"Justeru, mimbar menyeru kepada seluruh umat Islam sekalian, agar menghindar sifat keji dan hina seperti malas bekerja.

"Saling melemparkan fitnah, mengadu domba, banyak berangan, terlibat dengan aneka ragam kemaksiatan dan terpengaruh dengan ajaran sesat dan meragukan serta terikut-ikut dengan budaya Barat yang merayakan hari-hari tertentu sebagaimana pada hari yang mulia ini lagi barakah ini,” katanya.

Pada 2004, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, berkata umat Islam yang menyambut Hari Kekasih pada 14 Februari boleh dianggap murtad atau terkeluar daripada Islam jika cara melakukannya mirip dengan agama asal perayaan itu, Kristian.

Harussani berkata, hukum itu boleh jatuh kepada mereka berdasarkan sebuah hadis sahih yang menyebut bahawa:
“Sesiapa yang melakukan perbuatan yang menyerupai sesuatu kaum itu, maka ia turut termasuk bersama golongan tersebut.''

Beliau berkata, perbuatan meraikan hari berkenaan juga akan menjadi lebih bercanggah dengan ajaran Islam terutama apabila ia dikaitkan sebagai usaha untuk memperingati kematian seorang paderi yang dibunuh seperti mengikut sejarah purba Rom.

“Kita umat Islam tidak perlukan budaya atau amalan seperti ini yang jelas bertentangan dengan agama kita. Lagipun ajaran Islam sudah lengkap, sempurna dan diyakini,'' katanya.

Beliau mengulas sikap umat Islam di negara ini khususnya golongan muda yang masih cenderung untuk meraikan Hari Kekasih setiap kali muncul 14 Februari biarpun sudah banyak penerangan disampaikan oleh ulama.

Mengikut sejarah mitos, sambutan berkenaan diasaskan oleh masyarakat Rom yang beragama Kristian sebagai memperingati peristiwa seorang paderi yang dihukum bunuh oleh pemerintah Rom, Claudius II.

Saint Valentine dihukum bunuh kerana mengahwinkan salah seorang askar secara rahsia sedangkan undang-undang Rom ketika itu menghalang golongan muda berkahwin atau berkeluarga sebaliknya dikerah untuk menjadi tentera.

Hari ini budaya Valentine menganjurkan orang ramai menghantar kad ucapan Valentine kepada buah hati mereka, teman karib dan mereka yang tersayang sebagai simbolik menyatakan cinta.

Pada zaman pertengahan, masyarakat England dan Perancis menganggap 14 Februari sebagai `hari burung-burung mencari pasangan mereka.'

Pada kurun ke-14 dan ke-15 mereka mula meniru perbuatan burung tersebut dengan mengadakan hari mencari pasangan atau jodoh pada tarikh tersebut.

Masing-masing akan mengucapkan `Selamat Hari Valentine' sesama pasangan mereka.

Ada juga mitos menyebut, kad Hari Valentine dijadikan amalan memperingati peristiwa seorang paderi yang dipenjarakan dan sering menghantar kad bertulis From Your Valentine kepada kekasihnya, seorang gadis iaitu anak seorang pengawal penjara.

Harussani turut menyeru umat Islam agar tidak sesekali meniru budaya asing dan ternyata bercanggah itu apatah lagi ia turut menjerumuskan mereka ke lembah kemaksiatan. - 14 Febuari, 2014.

No comments:

Post a Comment