OLEH: SHAIMON S JUMADI
TERIMA KASIH.... James menerima cenderahati daripada penganjur
BELURAN: Usaha membantu rakyat luar bandar sedang giat
dilaksanakan dengan mempelbagaikan pembangunan merangkumi '1 Mukim 1 Bangunan'
yang melibatkan beberapa kawasan di Sugut yang berpontensi menjadi hab ekonomi
sekali gus menjana pendapatan penduduk setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Sugut Datuk
James Ratib berkata pihak Sedcovest Holdings Sdn Bhd sudah pun melakukan
lawatan ke empat mukim bagi mengenal pasti tapak pembinaan bangunan kedai yang
dicadangkan itu.
Menurut beliau, apabila perancangan ini menjadi kenyataan kelak
sudah pasti sektor ekonomi Sugut akan berkembang berikutan peluang untuk
penduduk kampung menjalankan perniagaan melalui usaha murni anak syarikat
kerajaan itu.
Beliau berkata, pelaksanaan kerangka pembangunannya dibuat secara
terancang memandangkan beberapa rundingan antara Sedcovest dengan penduduk
serta syarikat perladangan sebelum memulakan projek tersebut.
Katanya, pembinaan bangunan kedai Sedcovest ini adalah melibatkan
mukim-mukim seperti di Lingkabau, Tangkarason dan Sungai-Sungai yang dikenal
pasti sebagai lokasi strategik dalam usaha mempelbagaikan sumber ekonomi
masyarakat.
"Saya selaku Pengerusi Sedcovest Holdings akan memberi
keutamaan kepada usaha ini dengan meluluskan cadangan pembinaan bangunan
rumah-rumah kedai Sedcovest di kawasan mukim tersebut.
"Ia bagi memberikan peluang untuk penduduk kampung yang
berminat berniaga untuk menjalankan perniagaan yang dapat membantu meningkatkan
sosio ekonomi masing-masing.
"Inilah antara agenda saya yang mahu meningkatkan taraf hidup
penduduk Sugut agar tidak ketinggalan jauh daripada sektor ekonomi yang semakin
berkembang pesat.
"Oleh hal demikian, saya merancang pelbagai strategik untuk
memastikan Sugut terus terkeluar dari kepompong kemiskinan kerana kita mahu
rakyat membangun dan tidak lagi ada yang ketinggalan.
"Sebab itu, baru-baru lepas saya telah membawa serombongan
pegawai Sedcovest bagi meninjau dan melawat tapak pembinaan bangunan rumah
kedai yang dicadangkan sebagai pusat sehenti itu.
"Saya yakin matlamat menjadikan '1 Mukim 1 Bangunan' akan
membantu mewujudkan kembali pekan baru di Sugut yang dulunya malap tetapi
melalui usaha dan perancangan yang kita lakukan itu, ianya pasti meriah balik.
"Contohnya, Kampung Sungai-Sungai terkenal sebagai pekan
tertua di Sugut kerana ianya sudah pun wujud sebelum kedatangan pihak British
pada suatu ketika dahulu.
"Namun, semakin hari semakin malap pula jika dibandingkan
seperti mukim-mukim lain yang sedang membangun pesat," jelasnya panjang
lebar.
James menyatakan demikian ketika berucap merasmikan Persidangan
Tahunan Berkelompok Cawangan-Cawangan Umno Zon Sungai-Sungai, Sugut di Mini
Dewan, Kampung Sungai-Sungai, dekat sini, pada Ahad lepas.
Hadir sama Pemangku Penolong Pegawai Daerah Pekan Kecil Paitan,
Joe Miling; Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Sugut, Jalil Atang; Pengerusi
Pelaksana merangkap Pemaju Masyarakat Kg Sungai-Sungai, Doing @ Asmadun Hassim;
Setiausaha Bahagian Beluran, Mohd Omar Amsulong; mantan Ahli Parlimen Beluran,
Asmat Nungka, mantan Setiausaha Bahagian yang juga ahli jawatankuasa Umno
Beluran iaitu Zikiri Ajad dan Naib Ketua Pemuda Umno Beluran, Jelani serta Ahli
Parlimen Belia Malaysia, Mohd Fazli Zikiri termasuk pemimpin-pemimpin
masyarakat setempat.
Mengulas lanjut, Ketua Umno Bahagian Beluran memberitahu tanah
seluas 25 ekar akan dibangunkan di Mukim Sungai-Sungai bagi tujuan mewujudkan
pekan baru di kawasan tersebut.
Jelasnya, perundingan antara penduduk kampung dengan pihak
syarikat perladangan akan dibuat dan difahamkan bahawa syarikat terbabit telah
pun setuju untuk membuka tanah tetapi bersyarat.
"Pihak syarikat ladang sudah bersetuju tetapi mereka minta
orang kampung yang akan mengendalikan proses pecah geran.
"Kita tahu ia bukannya sikit tentu menelan belanja yang besar
juga ... namun, biarlah saya yang membantu secara berperingkat-peringkat demi
merealisasikan matlamat mewujudkan Pekan Baru Sungai-Sungai menjadi kenyataan
nanti," ujarnya sambil menerima tepukan gemuruh dari penduduk ahli-ahli Umno
mewakili 28 buah cawangan merangkumi Zon Sungai-Sungai itu.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) P.183 Beluran turut menekankan
pentingnya pembinaan loji air di kawasan Sugut ekoran air sungai dan perigi
yang tidak selamat lagi untuk diminum.
Ini katanya, sebahagian besar tanah ditanami pokok kelapa sawit
yang sudah pasti bajanya mengalir ke sungai atau perigi sekali gus memberi
kesan apabila diminum penduduk.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata sebuah loji air akan dibina
di Mukim Lingkabau dan Mukim Sungai-Sungai bagi mengatasi masalah air yang
sering dihadapi selama ini.
"Saya percaya masalah air akan dapat diatasi apabila
bermulanya pembinaan loji ini nanti. Ini kerana, saya nampak macam tidak
selamat air sungai atau perigi jika diminum kerana sekeliling sudah bertanam
kelapa sawit.
"Oleh sebab itu, saya sering mengutarakan agar perlunya
pembinaan loji air termasuklah solar hibrid bagi membolehkan rakyat menikmati
bekalan elektrik.
"Semua perancangan ini ada dalam Rancangan Malaysia Ke-11
(RMK-11) ... saya harap penduduk bersabar dengan usaha-usaha ini yang
lambat-laun akan sampai juga ke kawasan masing-masing," katanya.
Dalam pada itu, James berkata mengadakan mesyuarat tahunan
cawangan Umno adalah merupakan suatu kewajipan dan kehendak perlembagaan parti
namun yang lebih penting ianya memberi peluang untuk ahli menunjukkan komitmen
seterusnya menyumbang buah fikiran terhadap perjuangan parti.
Beliau meminta ahli-ahli Umno cawangan agar bersatu padu dan
menjalin semangat juang tinggi bagi memastikan kekuatan parti terus unggul dan
tidak mudah digugat pihak pembangkang.
"Yang penting juga, ahli-ahli Umno cawangan perlu sentiasa
memikirkan kekuatan parti dengan memastikan penambahan keahlian kerana ahli
yang ramai menjamin kekuatan parti keramat Umno ini," tambahnya.
No comments:
Post a Comment