OLEH: HAFIZ ZAINUDDIN
KUALA
LUMPUR:- Pengerusi DAP Sabah yang juga Ahli Parlimen Kota Kinabalu Jimmy Wong Sze Phing menggesa kerajaan persekutuan memberikan lebih
bidang kuasa pentadbiran kepada kerajaan Sabah (desentralisasi) supaya
pembahagian kemakmuran dan urus tadbir negeri akan lebih teratur, adil
dan menyeluruh. Gesaan ini juga selaras dengan semangat Perjanjian 20 Perkara
dalam pembentukan Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963 yang telah
dipersetujui.
“Saya mengemukakan gesaan ini memandangkan
sudah tiba masanya Sabah diberi ruang untuk menikmati pembangunan yang
setanding dengan negeri-negeri di semenanjung Malaysia. Ini kerana, sejak Sabah
membentuk Malaysia, ia seolah-olah dianak tiri oleh persekutuan sedangkan Sabah
banyak menyumbang kepada ekonomi negara sehingga pernah disenarai sebagai
negeri termiskin dalam Malaysia. Sabah juga masih ketinggalan jauh dari sudut
pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas terutamanya di kawasan luar bandar
dan pedalaman”Katanya.
Gesaan ini juga bertepatan dengan dasar
Pakatan Rakyat sebelum ini yang memperjuangkan “Desentralisasi dan pengupayaan
pengurusan ekonomi negeri” dimana kerajaan negeri akan diberikan lebih bidang
kuasa dalam menentukan pentadbiran ekonomi dan perlaksanaan pembangunan
infrastruktur.
Disebabkan pembangunan yang tidak seimbang
antara semenanjung dan Sabah, ada kalangan rakyat Sabah merasakan
"negara" mereka seolah-olah menjadi sebahagian dari ‘tanah jajahan’
Semenanjung. Dalam masa yang sama, kebajikan dan keselamatan rakyat Sabah terus
terhakis dan terancam. Hal ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati
dikalangan rakyat Sabah umumnya. Sabah dan Sarawak harus dilayan sebagai rakan
kongsi persekutuan dan bukan sebaliknya.
Masih ramai rakyat Sabah di kawasan kampung
dan pedalaman tidak mempunyai kemudahan infrastruktur yang baik seperti jalan,
bekalan air, elektrik, kemudahan kesihatan dan sebagainya sehingga pernah ada
kes di mana penduduk Pitas terpaksa menggunakan kerbau untuk membawa pesakit ke
jalan utama. Situasi seperti ini terlalu banyak berlaku dan ia menyedihkan.
“Mungkin hasil rasa tidak puas hati itu,
wujud sebuah kumpulan dinamakan Sabah Sarawak Keluar Malaysia (SSKM). Mereka
menjalankan kempen-kempen dilaporkan untuk meraih sokongan supaya Sabah dan
Sarawak berpisah dari Persekutuan Malaysia.
“Sebelum itu, ingin saya tegaskan
sekeras-kerasnya bahawa saya tidak menyokong apa juga usaha untuk memisahkan
Sabah dan Sarawak dari Persekutuan Malaysia. Begitu juga dengan prinsip DAP
yang sama sekali tidak akan menyokong apa juga gerakan yang berlawanan dengan
semangat Pembentukan Malaysia dan “Malaysian Malaysia”.Wong berkata.
Wong berkata sebagai langkah untuk
mengekang gerakan pemisah ini, kerajaan telah mencadangkan sebuah pindaan Rang
Undang-undang Akta Hasutan yang antara lain menyatakan “A excites a
person of a group of persons to demand for the secession of State B from
Malaysia. Such act is seditious.”
“Persoalannya, adakah menggunakan pindaan
ini, Malaysia akan bebas dari sebarang ancaman pemisah atau seumpamanya? Bagi
pandangan saya, untuk mengelak dari berpisah tidak semestinya perlu menggunakan
undang-undang yang zalim. Sentimen dan perasaan rakyat Sabah Sarawak perlu
dilihat dengan mendalam sepertimana telah saya nyatakan diatas. Terang Wong.
Menurut Wong pembelaan di sini bukan
bermaksud memberi sokongan kepada tuntutan untuk keluarkan Sabah dan Sarawak
dari Malaysia. Membela hak seseorang tidak bermaksud kita setuju dengan
pendirian seseorang. Sebaliknya, tidak bersetuju dengan pendirian seseorang itu
tidak pula bermaksud kita boleh lucutkan hak mereka. Hak kebebasan seseorang
haruslah dipertahan dan dibela. Penyokong SSKM itu hanya jalankan kempen
mengutip tandatangan dan mengedar risalah kepada orang ramai, ia dijalankan
secara aman, tiada keganasan berlaku dan tiada pun hasutan untuk revolusi.
Berkaitan SSKM, PDRM telah pun menahan 9
orang penyokong SSKM di Tuaran pada 2 Februari 2015, dan 5 orang pula ditahan
di Lahad Datu pada 8 Februari 2015.
“Saya percaya wujud kaedah lain yang lebih
baik dan demokratik. Saya amat berharap Perdana Menteri boleh mencontohi
kerajaan UK menangani isu pemisahan ini. Kerajaan UK mengurus cabaran pemisah
Scotland dengan sikap terbuka. Mereka memberi layanan wajar dan ruang kepada
pemisah Scotland dengan mengemukakan referendum kepada Scotland.
Hakikatnya, Kebanyakan rakyat Scotland masih mahu bersama UK. Tambah Wong lagi.
Di UK katanya tidak gunakan Akta Hasutan untuk
menahan semua pemisah Scotland dan penjarakan mereka selama 7 tahun tanpa perbicaraan.
Jika itu berlaku, mereka akan dianggap tidak bertamadun. Bagi pandangan saya,
Akta Hasutan tidak akan menghentikan suara kumpulan pemisah ini tetapi
hanya akan menggalakkan perasaan tidak puas hati.
Kiatanya jika pindaan Akta Hasutan ini
hanya menambah rasa tidak puas hati rakyat Sabah dan Sarawak, ia bakal menjadi
seperti gunung berapi yang meletup, maka, sejarah akan menghakimi kerajaan BN
sebagai ‘golongan pemisah’ yang sebenar. Saya sekeras-kerasnya menolak pindaan
rang undang-undang Akta Hasutan ini.
“Saya ingin tegaskan, untuk menyelesaikan
masalah ini, sentimen dan perasaan rakyat Sabah dan Sarawak perlu diteliti
sedalamnya dan diambil kira. Kerajaan Sabah harus diberi lebih kepercayaan
untuk mengurus tadbir negeri yang mana dilihat mampu merapatkan jurang ekonomi
dan pembangunan negeri. Saya amat yakin, rakyat Sabah umumnya sangat menyokong
semangat Pembentukan Malaysia, justeru ia harus dihormati dan dipertahankan”Ujar
Wong.
No comments:
Post a Comment