OLEH: HAFIZ ZAINUDDIN
KUALA LUMPUR:- Timbalan Pengerusi DAP Sabah
Stephen Wong mendesak pihak berkuasa yang berkaitan termasuk Jabatan Kastam
Diraja Malaysia menghentikan penguatkuasaan terhadap golongan peniaga yang
tidak berupaya, dalam kata lain golongan pengusaha perniagaan kecil dan sederhana
(SME) yang mendapat kesan buruk oleh GST. Malah, golongan ini perlu
mendapat bantuan dan sokongan kerajaan supaya mereka dapat menyesuaikan diri
dengan mekanisma GST.
Wong berkata, beliau turut
mendapat banyak aduan dari pemilik perniagaan tempatan yang kebanyakannya dari
SME yang mana masih kekok dan mengalami kesukaran untuk mengadaptasi mekanisma
tersebut terutamanya mereka yang keliru mengenai senarai barangan yang
dikecualikan cukai. Menurutnya, sejak kerajaan bertegas untuk melaksanakan GST,
adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memastikan implementasi itu
berjalan lancar manakala setiap perniagaan pula boleh kembali berurusan seperti
sediakala secepat mungkin.
Stephen Wong turut menempelak
dakwaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan yang
mendakwa segala urusan berkaitan berjalan lancar dan berpuas hati terhadap
mekanisme tersebut.
“Adalah
amat tidak wajar apabila kerajaan seolah-olah hanya mementingkan jangkaan
perolehan mereka (RM22 bilion) semata-mata. Kerajaan sepatutnya membantu
golongan peniaga ini dan membuat pemantauan secara serius. Perniagaan
kecil-kecilan begitu terbeban dan menderita kerana berhadapan dengan banyak
masalah. Tapi sampai sekarang pihak berkuasa terus menerus menekan dan
menjalankan penguatkuasaan terhadap pengusaha-pengusaha perniagaan tanpa
bantuan yang wajar,” tegas Wong.
Dalam pada itu, Stephen Wong
turut mendedahkan, meski pun GST berkuatkuasa minggu lalu, tetapi komponen
perisian perakaunan mengalami lebihan permintaan dan kehabisan stok di pasaran.
Ia telah menyebabkan para peniaga gagal untuk menjalankan perniagaan kerana
tidak ada resit berkomputer yang sah untuk berurusan dengan pelanggan. Justeru,
adalah penting untuk memberikan satu tempoh penangguhan sekurang-kurangnya enam
bulan kepada pengusaha perniagaan untuk menyesuaikan diri dan melancarkan
segala urusan.
Wong yang juga Ahli Parlimen
Sandakan berkata masih terdapat banyak peniaga yang menghadapi dilema dan hal
ini menunjukkan Malaysia masih belum bersedia untuk GST. “Bukan sahaja
pengusaha SME yang melakukan kesilapan, syarikat besar seperti 7eleven turut
melakukan kesilapan. Pada masa yang sama, banyak pengusaha perniagaan
tradisional terpasa gulung tikar,” ujar Wong lagi.
Beliau turut mempertikaikan
kementerian dan pegawai-pegawai kastam yang kelihatan terlalu
bersungguh-sungguh meyakinkan rakyat bahawa harga barang-barang akan menjadi
lebih rendah dan turun selepas GST dijalankan.
“Nampaknya kerajaan telah
menipu rakyat terang-terangan. Lihatlah pada situasi pasaran sekarang,
kebanyakan harga barangan meningkat tinggi. Ini membuktikan GST membawa kesan
negatif kepada pasaran semasa.”
Beliau mencabar kerajaan dan
pihak berkuasa berkaitan supaya mendedahkan semua senarai barangan yang telah
diturunkan harga untuk membuktikan dakwaan mereka sbelum ini.
“Kerajaan tidak boleh
berselindung dari tanggungjawabnya. Jika kerajaan menipu rakyat, Perdana
Menteri Najib Razak perlu meminta maaf dan menerima bahawa GST sememangnya
membawa kesan negative ke atas rakyat,” tegas Wong.
Kata Wong, beliau sudah
beberapa kali menggesa kerajaan untuk menangguhkan dahulu implementasi GST
kerana Malaysia masih belum bersedia melaksanakannya saat ini. Disebalik semua
perselisihan dan masalah yang berlaku, kerajaan masih bertegas mahu melaksanakan
GST yang memberi kesan kepada rakyat, ia menunjukkan kerajaan bersikap
tidak bertimbangrasa dan tidak pro-rakyat.
No comments:
Post a Comment