Wednesday 13 November 2013

KERAJAAN BN TERUS MEMBELA NASIB WARGA EMAS DI NEGARA INI...MUSA

 Rabu   13 November  2013 

Written by Admin

OLEH CHARLES P ANDIAN

KOTA KINABALU: Warga Emas di negeri ini tidak akan terpinggir mereka terus terbela dengan melalui pelbagai bantuan yang disalurkan bagi menghargai pengorbanan golongan itu yang pernah menjadi seorang pendidik, tentera dan pelbagai  lagi profesyen yang pernah disumbangkan untuk kemajuan negara ini sehingga dikecapi oleh generasi pada hari ini

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman berkata kerajaan negeri dan kerajaan Pusat sentiasa mengambil berat mengenai golongan itu dan pelbagai inisiatif untuk membela nasib mereka dilaksanakan bagi memastikan mereka dapat hidup dengan selesa.
“Antaranya ialah pengecualian caj pendaftaran pesakit luar di semua hospital termasuk klinik  kesihatan dan klinik 1Malaysia yang telah dilaksanakan pada awal Januari tahun lalu.
“Pengurangan caj pemprosesan sebanyak 50 peratus iaitu dari RM300 kepada RM150 untuk pasport yang mempunyai tempoh sah laku lima tahun dan untuk dua tahun dikurangkan kepada RM80 sejak Januari tahun ini,” katanya.
Musa berkata demikian dalam teks ucapannya sempena Majlis Sambutan Hari Warga Emas Peringkat Negeri Sabah 2013 di sini hari ini. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Yahya Hussin.
Turut hadir Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah R.M Jasni.
Musa berkata golongan yang juga disebut sebagai “Senior Citizens” itu sememangnya memiliki ilmu pengetahuan, pengalaman dan kemahiran yang mungkin tidak terdapat pada generasi muda masa kini, oleh itu sumbangan mereka perlu dihargai kerajaan.
Terdahulu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah, Datuk Jainab Ahmad Ayid berkata kementerian itu memberi peluang kepada warga emas menyumbang dalam program pembelajaran dan pengajaran, perkongsian pengalaman, penyampaian ilmu dan kemahiran.
Katanya peluang berkenaan dilaksanakan melalui program berbentuk ‘outreach’ dan ‘developmental’ di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) di Sandakan dan Tawau serta Khidmat Bantu di Rumah di seluruh negeri dengan kerjasama Pertubuhan Sukarela Kebajikan (PSK).

No comments:

Post a Comment