Saturday, 16 November 2013

Peruntukan RM1.583 bilion untuk pembangunan infrastruktur tahun depan

November, 16, 2013

By Admin

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah memperuntukkan RM1.583 bilion bagi menyediakan kemudahan infrastruktur dan kemudahan awam di Sabah tahun depan.
Musa (gambar) yang juga Menteri Kewangan Negeri berkata peruntukan besar itu merupakan sebahagian daripada usaha untuk mencapai objektif mengurangkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar dan antara wilayah dan meningkatkan taraf hidup rakyat.
Katanya sebanyak RM347 juta disediakan untuk projek jalan raya yang selesa dan berkualiti melalui pembinaan dan penyelenggaraan jalan, pembaikan cerun, pembinaan dan penggantian jambatan lama, pengurusan trafik dan keselamatan jalan raya.
“Bekalan air bersih dan terawat merupakan nadi kehidupan yang mencerminkan kesejahteraan hidup rakyat.  Oleh itu, ia dititikberatkan dan menerima sejumlah RM627.92 juta.
“Peningkatan taraf bekalan air ini termasuk program penggantian paip lama, kerja-kerja kecemasan dan pengurangan kadar air tidak berhasil,” katanya dalam pembentangan Bajet Negeri Sabah 2014 di Dewan Undangan Negeri Sabah semalam.
Beliau berkata turut diberi perhatian dalam bajet tahun hadapan ialah meningkatkan keberkesanan sistem pembetungan dengan penyediaan peruntukan berjumlah RM45.31 juta.
Menurut Musa dalam usaha mentransformasikan sektor pertanian di Sabah supaya menjadi sektor utama yang menjamin pertumbuhan ekonomi negeri yang mampan, kerajaan negeri memperuntukkan RM472.99 juta untuk sektor itu.
Musa turut memberi perhatian kepada sektor pembangunan pelancongan yang menerima peruntukan berjumlah RM223.99 juta dalam Bajet 2014 untuk menggerakkan aktiviti dan program bagi menarik lebih ramai pelancong ke Sabah sekali gus menjana ekonomi negeri.
Bagi mencapai sasaran sifar miskin tegar dan mengurangkan miskin relatif di Sabah, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM178.14 juta bagi melaksanakan pelbagai program untuk mencapai objektif berkenaan.

No comments:

Post a Comment