Saturday 9 November 2013

Tuan Ibrahim tarik diri bertanding jawatan timbalan presiden


By Admin | November 8, 2013
Beliau sebaliknya mengumumkan akan bertanding jawatan naib presiden.
PETALING JAYA: Ketua Penerangan PAS Pusat  Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang sebelum ini hangat diperkatakan sebagai calon yang akan menggalas cabaran bertanding jawatan timbalan presiden membuat kejutan apabila mengumumkan tidak akan bertanding jawatan tersebut.
“Setelah meneliti ketiga-tiga jawatan yang saya dicalonkan, iaitu AJK PAS Pusat, naib presiden dan timbalan presiden, maka saya rendah diri menawarkan diri untuk menerima pencalonan sebagai naib presiden dalam muktamar PAS ke-59,” kata Tuan Ibrahim menerusi satu kenyataan media yang disiarkan dalam laman media sosial, Facebook.
Beliau menolak pencalonan sebagai timbalan presiden berdasarkan beberapa sebab.
“Walaupun saya amat menghargai kepercayaan dan penilaian tinggi yang diberikan oleh PAS kawasan yang mencalonkan saya ke jawatan Timbalan presiden, namun pada saya, jawatan itu adalah sangat besar dan di luar kemampuan saya untuk memikulnya buat masa kini.
“Tambahan pula, buat masa ini saya masih diamanahkan tugas sebagai pesuruhjaya PAS Pahang yang memerlukan tumpuan gerak kerja dan masa yang banyak bagi menghadapi pilihanraya umum ke 14,” kata beliau yang pada ketika ini berada di Doha, Qatar.
Beliau menambah tugas memimpin parti adalah satu tugas besar dan di kala ini PAS perlu meningkatkan muafakat dengan parti komponen Pakatan Rakyat dan memperkasakan ukhuwah jemaah sebagai faktor penerimaan atau penolakan pencalonan jawatan.
Pengumuman ini bermakna kedudukan penyandang jawatan timbalan presiden PAS Mohamad Sabu lebih selamat sekarang manakala pertandingan menarik bakal disaksikan di dalam pertandingan jawatan naib presiden.
Pemimpin lain yang dicalonkan untuk jawatan timbalan presiden ialah Salahuddin Ayub yang mahu mempertahankan jawatan naib presiden.
Naib presiden Husam Musa juga lebih cenderung untuk mempertahankan jawatannya.
Persoalan berhubung pertandingan jawatan timbalan presiden PAS akan terjawab  apabila Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohamad Amar Nik Abdullah mengumumkan keputusan beliau.
Pemilihan kepimpinan tertinggi PAS akan berlangsung sempena dengan muktamar PAS ke 59 yang akan berlangsung di Selangor...fmt

No comments:

Post a Comment