Monday 11 November 2013

KUNCI KEJAYAAN MEMBANGUNKAN NEGERI PERLU SOKONGAN RAKYAT....MUSA

Monday November 11,2013
Written by Admin



OLEH: SHAIMON S JUMADI


SANDAKAN: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Hj Aman berkata kejayaan  untuk membangunkan sesebuah negeri yang memiliki masyarakat majmuk pastinya memerlukan sokongan dan komitmen seluruh lapisan masyarakat

Menurut beliau ia bagi menjamin perkongsian manfaat pembangunan dinikmati secara saksama, sekali gus mengelak berlakunya perbalahan yang boleh meruntuhkan benteng perpaduan masyarakat majmuk.

“Sempena sambutan Maal Hijrah pada tahun ini, marilah kita mengukuhkan perpaduan dan kerjasama bukan sahaja kalangan sesama umat Islam tetapi juga antara rakyat pelbagai kaum, agama dan budaya di negeri ini.

“Pendekatan ini terbukti berjaya mewujudkan kestabilan politik, kemakmuran ekonomi dan kerharmonian rakyat seperti yang mana yang kita nikmati sekarang,” katanya ketika melancarkan sambutan Maal Hijrah peringkat daerah Sandakan di sini hari ini.

Sehubungan itu, katanya sambutan Maal Hijrah adalah kesempatan terbaik untuk memantapkan lagi perpaduan dan penyatuan ummah yang sememangnya relevan dengan kehendak dan tuntutan semasa.

Menurutnya ia memerlukan rakyat di segenap lapisan di Sabah bertindak mulai sekarang untuk kembali memperkukuh dan memantapkan silaturahim demi membentuk ukhuwah Islamiah yang lebih teguh.

Turut hadir pada majlis sambutan tersebut ialah Ahli Parlimen Libaran  Datuk Hj Juslie Ajirol, ADUN Gum Gum Datuk Hj Zakaria Hj Edris, ADUN Sekong Datuk Hj Samsudin Yahya, Ketua Bahagian UMNO Sandaan Tan Sri Hj Ampong KK Puyon, Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) Hj Mohd Hamsan Hj Ag Supain  dan dif-dif kehormat   serta para pegawai kanan kerajaan negeri dan persekutuan.
  
HADIR.....Musa bersama para pemimpin kerajaan hadir di majlis tersebut
 



No comments:

Post a Comment