Friday 15 May 2015

DAURAH FESTIVAL SENI BELIA BOKARA DAPAT SAMBUTAN MERIA

OLEH: SHAIMON S JUMADI


KARAMUNTING:- DAURAH Festival Seni Belia Bokara berlangsung meriah dengan pelbagai pengisian menarik khususnya pertandingan nasyid kanak-kanak disusuli beberapa aktiviti yang memberi peluang untuk penduduk kampung memperkukuhkan silaturrahim sedia terjalin.

Festival selama tiga hari merupakan anjuran Sekolah Menengah As-Salam bersama jawatankuasa Masjid Nurussholihin yang diadakan di balairaya perkampungan tersebut baru-baru lepas.

Antara aktiviti ialah pertandingan futsal, ceramah agama, kenduri sekampung, persejarahan kampung, gerai jualan, ceramah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), bantuan balu dan ibu tunggal.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kg Bokara, Haji Azmir Aliong semasa menyampaikan ucapan perasmian penutupan karnival berkenaan memuji usaha dan inisiatif pihak penganjur kerana dapat melaksanakan satu program yang baik kepada penduduk setempat.

Ini katanya, program sebegini adalah merupakan wadah kepada penduduk untuk saling memperkukuhkan tali silaturrahim yang sedia wujud dalam memastikan perkampungan mereka terus makmur.

"Program ini wajar diteruskan kerana ia menyatupadukan lagi penduduk untuk bersatu padu dan membuang sikap yang tidak menguntungkan kepada diri serta juga kemajuan kampung.

"Apatah lagi, kampung kita yang terkenal sebagai sebuah perkampungan terawal di bandar Sandakan dan permuafakatannya pun menjadi contoh maka program-program sebegini hendaklah diteruskan.

"Ia bagi memudahkan pembangunan yang disalurkan pihak kerajaan akan berjalan lancar dengan adanya semangat muhibbah seperti ini," jelasnya sambil mendapat tepukan gemuruh hadiri pada majlis penutupan festival tersebut.

Mengulas lanjut, beliau berkata program festival berbentuk karnival turut memberi peluang kepada generasi baru di Bokara untuk mengekalkan budaya turun-temurun yang unik di perkampungan mereka.

Katanya, Bokara merupakan sebuah perkampungan yang istimewa memandangkan keunikannya daripada segi sikap penduduk lebih mengutamakan perpaduan dalam apa jua aspek kehidupan.

"Kita boleh tengok setiap program kemasyarakatan termasuklah majlis-majlis kenduri nampak semangat perpaduan orang Bokara yang begitu tinggi.

"Semangat membantu dan tolong-menolong yang menjadi amalan orang Bokara sejak sekian lama ... inilah menjadikan Bokara terus aman dan sentosa," kata beliau.

Haji Azmir juga menyarankan para ibu bapa agar memberikan didikan secukupnya kepada anak-anak kerana bidang pendidikan yang berasaskan akademik adalah penting untuk menjamin masa hadapan lebih cemerlang.

No comments:

Post a Comment