Monday, 8 June 2015

AFIF DINOBATKAN JUARA MR SANDAKAN 2015



OLEH: SHAIMON S JUMADI






JUARA ... Pengiran Afif dinobatkan selaku juara Mr. Sandakan 2015 'Ikon Remaja' yang disampaikan Fiffy pada majlis penyampaian hadiah.







KACAK BERGAYA ... Sebahagian daripada 20 finalis yang mengambil bahagian dalam Pertandingan Mr. Sandakan 2015 sekali gus mencuri tumpuan kerana punya rupa paras yang segak dan tampan



MALAM kemuncak Pertandingan Mr. Sandakan 2015 'Ikon Remaja' berjaya menghimpunkan jejaka tampan malahan boleh ditonjolkan ke pencarian peringkat tinggi berdasarkan rupa paras setiap pesertanya bukan alang-alang.

Tahniah dan syabas kepada penganjur iaitu al-Haddad Entertainment tidak lagi menoleh kebelakang sebaliknya meneruskan pertandingan Mr.Sandakan bagi tahun ketiga sekali gus mencungkil bakat-bakat baru dalam bidang peragaan lelaki.

Makanya, sambutan memberangsangkan daripada para jejaka sekitar Sandakan kerana inilah peluang untuk mereka bergelar Ikon Remaja dalam pertandingan yang telah pun berlangsung meriah di Best Western Sandakan Hotel & Residence, Bandar Leetat Jaya, malam Ahad lalu.

Buat julung kalinya juga, al-Haddad membuat kelainan tersendiri apabila menampilkan persembahan finalis seramai 20 orang dengan ala-ala antarabangsa seperti berjalan 'catwalk' di pentas sambil disaksikan secara santai tetapi eksklusif.

Pengacaranya pula Razif sekali-sekala menghiburkan penonton dengan senda gurau sekali gus berjaya menghidupkan suasana majlis yang turut diserikan persembahan pentas oleh Madonna, Nita Mui, Kavitha Yan, Skoutz dan Sandakan Bollywood Dancer Crew. 


Berbalik kepada cabaran finalis tadi,untuk memenangi gelaran Mr.Sandakan bukan juga mudah kerana mereka terpaksa melalui beberapa kategori yang akan dinilai barisan juri profesional yang telah didatangkan khas.

Antara kategori dipertandingkan pada malam final itu, Anugerah Best Batik Ware; Best Casual; Mr.Maskulin; Best Body Figure; Best Smile; Mr.Gorgeous; Mr.Friendly; Mr.Charming; Best Tuxedo; Mr.Personality; Best Catwalk; Mr.Favourite; Best Picture dan Best Photogenic.

Untuk bergelar bintang sebagai Mr. Sandakan 2015 'Ikon Remaja' itu, seseorang finalis akan dinilai daripada segi rupa paras selain penampilan diri ketika berjalan termasuklah saat memperkenalkan diri.

Turut diambil kira penampilan finalis yang nampak bergaya sewaktu memperagakan pakaian memandangkan pihak juri akan menilai setiap persembahan pentas mereka dari segi personaliti sebagai remaja.

Begitu pun, persembahan pada malam kemuncak membuatkan penonton sentiasa berdebar-debar menantikan keputusan pemenang memandangkan mereka yang menjadi finalis semuanya berbakat dan mampu mencuri tumpuan.

Tidak hairanlah penganjuran Mr.Sandakan yang diasas serta merupakan hasil cetusan idea Sofie Aliong dan dibantu rakan-rakan rapatnya seperti Fiffy Fazryan; Sasha el-Diamond dan Andikah Moyasin boleh pergi jauh kerana berjaya mengadakan pertandingan berprestij seumpamanya.    
Pertandingan menyaksikan Pengiran Iman Afif Syafie dari Taman Indah Jaya dinobatkan sebagai juara Mr.Sandakan 2015 'Ikon Remaja' sekali gus menewaskan 20 finalis yang turut memberikan saingan sengit.

Dengan kemenangan manis itu, beliau menerima sekalung mahkota dan wang tunai RM500 berserta selendang, jambangan bunga, rawatan kecantikan dan pakej percutian ke Bilit, Sukau.

Kemenangan remaja tinggi lampai ini memang sudah dijangka kerana punya rupa paras yang kacak dan tampan ditambah lagi kebolehannya bergaya di atas pentas yang mencuri tumpuan hadirin pada malam itu.

Naib juara dan tempat ketiga disandang Sherwin Hoe Jun Xing serta Thien Vui Ket yang masing-masing menerima trofi, selendang dan jambangan bunga.

Manakala tempat keempat dan kelima pula jatuh kepada Mohd Sayuthi Azruff serta Mohd Safwan Sidik yang juga menerima sebuah trofi, selendang dan jambangan bunga.

Sementara itu, anugerah-anugerah yang dipertandingkan pada malam kemuncak dimenangi beberapa finalis lain yang juga turut membawa pulang hadiah istimewa daripada pihak penganjur. 

"Syukur alhamdulillah ... selesai sudah Pertandingan Mr. Sandakan 2015 'Ikon Remaja'. Jumpa lagi tahun hadapan, kami memohon maaf di atas segala kekurangan mahu pun kesilapan yang tidak disengajakan.

"Semoga pertandingan kali ini menjadi medan bagi pencarian bakat-bakat baru dalam bidang seni yang melibatkan peragaan untuk kita tonjolkan ke peringkat tinggi lagi.

"Bagaimanapun, keikhlasan rakan-rakan dan sahabat-sahabat termasuk juga pihak penaja yang menjadi pembakar semangat untuk kami menganjurkan event ini pada tahun hadapan lagi.

"Jutaan terima kasih kepada semua penaja dan mereka-mereka yang sentiasa bertungkus-lumus menjayakan event pada kali ini terutama tetamu yang datang dari luar daerah Sandakan," kata Sasha kepada Hiburan Free Sandakan Today semasa ditemui selepas pertandingan tersebut.


No comments:

Post a Comment