Thursday, 21 January 2016

KERAJAAN AKAN BEKUKAN BIASISWA PELAJAR UNIVERSITI TAJAAN JPA

WARKAH TERBUKA UNTUK SEMUA RAKYAT

Thursday January 21.2016

Saudara Editor mohon sudilah kiranya  menyiarkan warkah terbuka ini  di Portal  Sandakan Free Sandakan Today

1. Parti Amanah Negara (AMANAH) dengan ini merasa kesal dan dukacita atas tindakan kerajaan menggantung pemberian biasiswa kepada pelajar universiti di bawah tajaan JPA. AMANAH dengan ini menekankan bahawasanya apa sahaja penstrukturan belanjawan negara tidak seharusnya diambil dari peruntukkan pendidikan seperti biasiswa.
  
2. AMANAH beranggapan bahawa pendidikan merupakan sektor terpenting dalam pembangunan negara kerana para pelajar dan penerima biasiswa merupakan aset modal insan pada negara membangun seperti Malaysia. Dalam era globalisasi dan ekonomi berasaskan inovasi dan teknologi,anak-anak muda inilah yang bakal melonjakkan negara ke satu tahap yang lebih tinggi sekaligus menjadi aset terpenting dalam pembangunan negara. Dengan penggantungan pemberian biasiswa, negara berkemungkinan besar bakal berhadapan krisis pelaburan satu aset terpenting negara.

3. Dengan penggantungan pemberian mahasiswa ini juga,AMANAH berasa kesal apabila ramai pelajar cemerlang lepasan SPM 2015 bakal terlepas peluang dan cita-cita mereka untuk menyambung pelajaran ke universiti terkenal peringkat dunia di dalam dan luar negara. AMANAH juga berpendapat bahawa golongan terbesar yang bakal terkesan dari penggantungan ini adalah anak-anak muda Melayu khususnya dari mereka yang susah tetapi cemerlang dalam pelajaran. Maka hancur leburlah harapan anak muda Melayu ini untuk mengubah nasib keluarga mereka dengan mendapat pendidikan yang baik hasil usaha keras mereka dalam pelajaran.

4. AMANAH dengan ini memberi cadangan kepada kerajaan supaya penstrukturan semula bajet negara perlulah dibuat melalui potongan ke atas perbelanjaan yang tidak munasabah seperti perbelanjaan pengurusan Pejabat Perdana Menteri dan peruntukan kepada Permata yang setiap tahun mendapat kenaikan berpuluh juta ringgit perlu dikurangkan. Sedangkan skandal RM2.6 billion serta penyelewengan SRC International yang masih tidak terjawab serta GST yang terus membebankan rakyat juga gagal menyelesaikan isu ekonomi negara malahan kerajaan terus membebankan rakyat jangan ditambah dengan penggantungan biasiswa ini.

5. Akhirnya,AMANAH dengan penuh pengharapan agar kerajaan Dato Seri Najib Tun Razak segera menjawab desakan sekaligus menarik balik penggantungan pemberian biasiswa dan program Bursary di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia.

"Harapan Baru"

Yang ikhlas

YB Aminolhuda Hassan
Pengerusi Biro Pendidikan 
Parti Amanah Negara (AMANAH)


No comments:

Post a Comment