By Admin
KOTA KINABALU:- Pesuruhjaya Polis
Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman menegaskan keadaan keselamatan di Sabah,
khususnya di pantai timur adalah terkawal dan meminta rakyat tidak mempercayai
khabar angin yang tersebar dalam laman sosial.
Sambil menafikan dakwaan kononnya keadaan
keselamatan di Sabah terancam dan bakal berlaku pencerobohan di pantai timur
negeri ini, beliau berkata polis sedang menyiasat dalang yang menyebarkan
berita palsu itu.
"Mohon masyarakat dan rakyat Sabah jangan
dengar berita palsu yang sengaja dibuat untuk menakutkan orang ramai. Pihak
agensi keselamatan mampu untuk mengawal keadaan jika berlaku apa jua
kemungkinan," katanya kepada pemberita di sini Khamis.
Beliau mengulas tentang penyebaran khabar angin
dalam laman sosial dan aplikasi WhatsApp berhubung keadaan keselamatan di
Sabah, selepas majlis penyerahan kuih raya Aidilfitri untuk anggota pasukan
keselamatan yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.
Berhubung kenyataan Ketua Polis Negara Tan Sri
Khalid Abu Bakar semalam bahawa polis akan mengumumkan perintah berkurung
sepanjang 1,400km perairan pantai timur Sabah dalam tempoh 48 jam, Jalaluddin
berkata pihaknya sudah bersiap sedia untuk melaksanakan perintah itu.
"Kami mengadakan mesyuarat hari ini di
Semporna untuk membincangkan pelbagai perkara (isu keselamatan termasuk
perintah berkurung)...sudah tentu kami sudah bersedia," katanya.
Perintah berkurung itu akan berkuat kuasa pada masa
tertentu dari perairan antarabangsa sehingga ke perairan Timur Sabah bagi
mengelak penceroboh dan penculik memasuki negeri itu.
Ini susulan insiden serang hendap oleh sekumpulan
lapan individu bersenjata berat di Pulau Mabul, Semporna Sabtu lepas yang
menyebabkan Koperal Ab Rajah Jamuan, 32, maut manakala rakannya, Konstabel
Zakia Ali, 26, diculik. BERNAMA-
No comments:
Post a Comment